Kementerian Kewangan teliti DEB

Oleh Norlaile Abd Rahman

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah (kiri) mendengar penerangan dari Ketua Pegawai Teknologi HeiTech Managed Services Sdn. Bhd. Wan Zailani Wan Ismail ketika melawat tapak pameran selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Tahunan ke-10 BankTech Asia 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. -foto IQBAL BASRI 24 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Manifesto yang dibentangkan Pakatan Harapan (PH) sebelum memenangi pilihanraya umum ke-14 merupakan antara agenda utama yang bakal terkandung di dalam Bajet 2019.

Meskipun tidak menyatakan secara terperinci, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah berkata, kementerian tersebut sedang meneliti Dasar Ekonomi Baharu (DEB).

Tegasnya, pendirian PH amat jelas di dalam mengekalkan agenda orang Melayu dan bumiputera namun dalam masa yang sama percaya bahawa kaum lain juga perlu mendapat perhatian kerajaan.

“Agenda Bumiputera memang sentiasa dipegang oleh Pakatan Harapan tetapi kami juga mahu kaum lain tidak ditinggalkan.

“Kami konsisten di dalam memberi bantuan kepada semua rakyat yang memerlukan tanpa mengira kaum,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Tahunan BankTech Asia ke-10 di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai kebimbangan segelintir pihak terhadap kemungkinan hak-hak Bumiputera seperti Amanah Saham Bumiputera atau kuota-kuota lain dibuka kepada kaum bukan Bumiputera, Amiruddin berkata, banyak lagi dana pelaburan atau peluang lain yang boleh disertai oleh semua rakyat tanpa mengira kaum.

Selepas PH memenangi PRU-14, banyak pihak meminta kerajaan untuk menilai semula DEB yang dilihat pro-Bumiputera dengan membuka banyak peluang kepada kaum-kaum lain.

Dalam perkembangan lain, Amiruddin berkata, kerajaan tidak mempunyai masalah untuk meneruskan agenda pendigitalan termasuk regulasi industri teknologi kewangan (financial technology-fintech) yang dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional dahulu.

Ini menurut beliau adalah agenda penting bagi kemajuan negara.

Namun beliau ingin memastikan supaya keseimbangan diberikan dalam menyediakan regulasi fintech supaya tidak terlalu longgar sehingga menjejaskan keselamatan negara serta pengguna dan tidak terlalu ketat sehingga menyebabkan industri tersebut tidak mampu dikembangkan.

“Kementerian Kewangan sedang berbincang dengan Bank Negara Malaysia mengenai hal ini.

“Kami tetap akan meneruskan agenda kerajaan terdahulu termasuk pengenalan regulasi terhadap syarikat-syarikat fintech tetapi ianya perlulah seimbang. Tidak terlalu longgar dan tidak terlalu ketat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

Search

fidodesign.net - Malaysia Freelance Web DesignerWebsite by : Malaysia Freelance Web Designer - fidodesign.net