HeiTech lancar penyelesaian keselamatan siber, Secure-X

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 OKTOBER 2018

Abdul Halim

Abdul Halim

HeiTech Padu Berhad (HeiTech) melancarkan Secure-X, tawaran terbaharu untuk perniagaan Perkhidmatan Keselamatan Terurus yang diperkenalkan di Persidangan Cyber Security Malaysia-Awards, Conference & Exhibition kali ke-10 (CSM-ACE 2018) anjuran CyberSecurity Malaysia yang sedang berlangsung sehingga Jumaat ini.

Naib Presiden Eksekutif HeiTech dan Ketua Pegawai Eksekutif HeiTech Managed Services Group, Abdul Halim Md Lassim berkata, mengambil peluang atas kepimpinan kerajaan baharu kini, HeiTech menjadikan acara ini sebagai platform terbaik memperkenalkan perkhidmatan keselamatan siber terurusnya dalam industri keselamatan siber.

“Secure-X menyediakan penyelesaian keselamatan siber moden dan perkhidmatan terurus kepada organisasi di Malaysia termasuk kerajaan dan perusahaan dalam mencapai matlamat transformasi digital mereka dengan menawarkan nilai dari teknologi rangkaian hari ini di tengah-tengah persekitaran yang semakin kompleks.

“Teknologi dan penyelesaian Secure-X yang ditunjukkan di CSM-ACE 2018 akan membantu industri mengubah operasi mereka dan mendapatkan beberapa manfaat transformasi digital yang membawa kepada peningkatan keselamatan siber dan perniagaan,” katanya.

Jelasnya, perkhidmatan keselamatan terurus Secure-X merangkumi pencegahan, pengesanan dan pemulihan meliputi sokongan menyeluruh dengan operasi berasaskan fokus tahap perkhidmatan kepada pelanggan.

“Teras penyelesaian terdiri daripada pengurusan kerentanan, pengurusan ancaman pintar, pengurusan pematuhan dan perundingan.

“Teras perkhidmatan pula terdiri daripada pelbagai lapisan keselamatan dari peranti titik hujung, sekuriti perimeter sehingga tahap aplikasi dan pematuhan keselamatan bersama kepakaran dalam setiap bahagian masing-masing,” katanya.

Sementara itu, pada persidangan HeiTech Secure-Xchange, HeiTech membentangkan dua topik iaitu Mitos Keselamatan Perisian dan Transformasi Digital di samping topik menarik lain dibentangkan penceramah dari prinsipal teknologi dan pengguna yang berkongsi pandangan mereka.

HeiTech, yang telah menjadi pakar dalam industri keselamatan siber selama lebih dua dekad, menawarkan penyelesaian khusus untuk agensi kerajaan dan perniagaan. – Sinar Online

Search

fidodesign.net - Malaysia Freelance Web DesignerWebsite by : Malaysia Freelance Web Designer - fidodesign.net